Thursday, January 26, 2012

Dinding Perpustakaan Akademik.



Saya sudah agak lama tidak menulis dan membicarakan tentang dunia kepustakawanan.Jadi untuk kali ini saya ingin melontarkan pandangan mengenai Dinding Perpustakaan Akademik dan masyarakat dalam ruang lingkup penyebaran ilmu.

Pengalaman saya,pernah melihat seorang kontraktor yang datang ke perpustakaan kelihatan ragu-ragu dan janggal untuk memegang  buku-buku  yang tersusun rapi di rak buku.Saya menegur dan bertanya khabar samada dia minat dengan buku serta koleksi yang ada.Dia kata semuanya bagus,tapi dia lebih suka ke perpustakaan awam.Saya tanya kenapa?Dia kata dia rasa rendah diri dan tak biasa dengan enviroment yang ada,dia bukannya pelajar universiti atau Pensyarah dan tak terlibat dengan dunia ilmiah ini.

Pandangan Umum

Perpustakaan Akademik jika dilihat secara dasarnya adalah lebih menumpukan kepada warga sesebuah institusi tersebut.Pelajar,kakitangan dan warga pendidik didalam universiti secara umumnya.Masyarakat mungkin berasa atau beranggapan bahawa perpustakaan akademik ini hanyalah terfokus kepada mereka yang   berpendidikan tinggi dan terhad disitu sahaja.Terdapat pra syarat tertentu yang dikenakan jika masyarakat ingin mengunjungi dan menggunakan kemudahan dan mengakses bahan koleksi yang terdapat di perpustakaan akademik.

Adakah pandangan dan tanggapan  sedemikian menguntungkan perpustakaan akademik?Apakah ilmu juga memerlukan sekatan dan kategori dalam erti perkongsian dan penyebaran?

Budaya dan senario Perpustakaan Akademik

Apabila Universiti memasuki musim cuti semester,maka perpustakaan akan lengang,sunyi,sepi dan hening.Selama mana pelajar bercuti,selama itulah situasi tersebut akan kekal.Bermula semester baru,ketika itulah susana di perpustakaan kembali meriah.Paling meriah adalah ketika musim peperiksaan,berduyun pelajar akan mengunjungi perpustakaan untuk menelaah dan berbincang bersama rakan yang lain.Kitaran ini telah berlaku berpuluh tahun.

Cabaran Teknologi Maklumat dan Bilangan pengunjung

Dunia IT kini memungkinkan individu mendapat maklumat hanya dengan satu klik saja di dalam web.Apakah ini tidak memberi kesan kepada pengunjung perpustakaan?Pengunjung kini juga hadir dalam bentuk maya.Namun,ianya juga masih dibatasi oleh prasyarat khusus iaitu tertakluk pada keahlian seseorang.Masyarakat  sekitar sudah semestinya perlu menjadi sebahagian daripada entiti ini.

Pustakawan Perpustakaan Akademik

Peranan Pustakawan Akademik juga lebih tertumpu kepada pembangunan koleksi dan skop dokumentasi kerja bagi mecapai pengiktirafan dan persijilan badan-badan antarabangsa bagi mendapat nama yang gah untuk ditampal di dinding perpustakaan akademik.

Apa guna segala pengiktirafan seandainya fungsi dan matlamat utama Perpustakaan Akademik masih lagi berada di takuk lama dan terbatas oleh kategori jenis perpustakaan.Kita mahu perpustakaan sentiasa dipenuhi pengunjung,kita mahu masyarakat juga bergerak seiring dengan arus perdana dan disini timbul persoalan utama

Apakah yang masyarakat dapat dengan wujudnya Universiti dan Perpustakaan Akademik yang ada dikawasan mereka?

Perpustakaan Akademik semakin Elitis?

Masyarakat dan orang awam jika hendak membaca tempatnya di Perpustakaan Awam?

Saya tidak setuju jika perpustakaan akademik hanya melayani pelajar,pensyarah dan penyelidik sahaja.Ini adalah tidak betul dan tidak mencerminkan fungsi sebenar sesebuah perpustakaan itu.Tertutup!

Perpustakaan seharusnya dibuka untuk kegunaan semua orang,tidak kira sebagai ahli atau tidak ahli,umur,taraf kehidupan dan latarbelakang pendidikan.Perpustakaan sebagai gedung dan pusat penyebaran ilmu perlu bebas daripada pemikiran lapuk ini.

Aktiviti dan program perpustakaan akademik juga tidak perlu lagi dibelenggu dengan justifikasi sempit yang hanya terpusat pada sesuatu yang berbentuk terlalu ilmiah dan hanya dapat diimplimentasikan oleh gologan tertentu sahaja. Aktiviti dan program  perpustakaan akademik seharusnya flexible untuk semua golongan.Kita nak tarik minat orang ramai,masyarakat untuk mendapat manafaat dari apa yang ada disekitar mereka.

Saya sertakan bersama satu artikel yang amat menarik untuk kita renungi bersama.


Mari Belajar Cara Australia Jadikan Perpustakaan Milik Masyarakat
BUDAYA membaca sebenarnya adalah satu sikap yang sukar dipupuk walaupun dalam mana-mana masyarakat sekali pun. Sikap ingin menambah pengetahuan terutama selepas zaman persekolahan merupakan bukan sesuatu perkara yang mudah dilaksanakan.
Bagaimanapun, cara Australia memajukan perpustakaannya dan cara mereka menarik masyarakat mendampingi perpustakaan sangatlah unik dan wajar diteladani oleh kita semua.
Pengalaman saya meninjau ke beberapa buah perpustakaan terutamanya perpustakaan desa di sekitar Victoria, banyak membuka mata saya, bagaimana sistem di sini memupuk budaya ingin membaca berlaku walaupun tanpa wujudnya kempen-kempen tertentu.
Perpustakaan awam di Australia didirikan di setiap daerah, tanpa mengira bilangan populasi setempat. Ini bermakna walaupun populasi di sesuatu tempat tidak sampai satu ribu penduduk pun, tetap diadakan sebuah bangunan khusus untuk perpustakaan.
Pengurusan perpustakaan diletakan di bawah seliaan kewangan perbandaran tempatan. Yang menariknya, setiap perpustakaan tidak mempunyai sebarang dana tertentu untuk menjalankan apa jua aktiviti yang direncanakan, melainkan gaji tetap para pekerja pustakaan tersebut.
Dan untuk menjadi ahli di mana-mana perpustakaan di sini, tidaklah sesusah di Malaysia. Keahlian tidak memerlukan sebarang gambar passport ataupun penjamin, apatahlagi mengisi borang-borang yang menyusahkan.
Secara tidak langsung, peraturan yang longgar ini dapat manarik minat masyarakat setempat untuk menjadi ahli perpustakaan. Apatahlagi peraturan-peraturan yang disediakan cukup mesra pengguna.
Perpustakaan dibuka untuk kegunaan semua orang, tidak kira sama ada anda merupakan ahli ataupun bukan. Kelebihan menjadi ahli adalah sekadar untuk pinjaman dan penggunaan peralatan alatan.
Lebih menarik, bila anda mendaftar untuk sesebuah perpustakaan awam, secara automatis anda menjadi ahli untuk kesemua perpustakaan yang terdapat di daerah tersebut. Anda boleh meminjam sebuah buku di perpustakaan A dan menghantarnya ke perpustakaan B, menarik bukan?
Tambah teruja, perkhidmatan penghantaran dan pengambilan buku/video/cd ke rumah sebagai perkhidmatan tambahan, tanpa dikenakan sebarang caj tertentu. Maka secara tidak langsung anda tidak ada sebarang alasan untuk tidak membaca.
Perpustakaan di sini tidak menegah untuk membuat bising…sesuatu yang pastinya kita tidak akan jumpa di mana-mana perpustakaan pun di dunia mungkin. Bagi masyarakat Australia, perpustakaan tidak perlu senyap, kerana bagaimana ilmu dapat disalurkan tanpa adanya diskusi dan interaksi.
Perpustakaan juga menyediakan perkhidmatan membantu menyiapkan kerja sekolah - satu tarikan utama untuk golongan pelajar, untuk datang ke perpustakaan. Perkhidmatan ini juga disediakan secara percuma.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur mahupun latarbelakang seseorang. Menariknya, mereka menggalakkan penggunaan internet, permainan video malah PS (Play Station) mahupun WII (Nintendo) disediakan - mungkin juga sebagai satu daya penarik agar golongan muda mengunjungi perpustakaan.
Bayangkan setiap hari ada sahaja aktiviti dijalankan, dari kelas membaca sehingga ke kelas komputer, secara tidak langsung mengamit orang untuk datang ke perpustakaan. Disamping itu setiap persatuan sejarah setempat diletakkan di bawah seliaan perpustakaan.
Bayi (di bawah umur 2 tahun) juga telah disediakan aktiviti tertentu, agar dapat dipupuk dari awal sikap ingin tahu, budaya membaca dan budaya bersosial.
Kesimpulannya, semua ini secara tidak langsung melibatkan masyarakat setempat, dalam berkongsi pengalaman dan menyalurkan ilmu kepada yang lain. Setiap aktiviti bukan sahaja dijayakan oleh perpustakawan malah para sukarelawan yang tidak dibayar, bersama-sama mengemblengkan tenaga untuk menjayakan sesuatu aktiviti.
Duit mahupun dana bukan penghalang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Masyarakat setempat tidak memerlukan makanan percuma untuk hadir sesuatu aktiviti, mahupun t-shirt tanda kenangan ataupun sijil kehadiran.
Pengguna perpustakaan amat dahagakan ilmu, bukannya cenderahati. Penceramah juga tidak menuntut sebarang saguhati atau honorari, kerana kesedaran tanggungjawab sosial yang tinggi.
Perpustakaan bukan sekadar tempat lambakan buku, ia dijadikan tempat tumpuan setempat. Tempat perbincangan dan tempat untuk berkongsi pengalaman. Pendek kata perpustakaan janganlah terlampau menakut-nakutkan pengguna, dengan peraturan-peraturan yang rigid.
Ilmu janganlah dijadikan terlampau eksklusif hanya untuk golongan tertentu sahaja dan janganlah sama sekali kita menjadikan duit sebagai penghalang untuk maju ataupun melakukan sebarang aktiviti-aktiviti.
DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au