Wednesday, December 28, 2011

Kembang Kanigara



"Kerana Mati itu satu penyerahan.Dan setiap yang wujud itu pasti akan mati.Jadi biarlah penyerahan itu itu dilakukan dengan adanya cita-cita."
Indrajit.

Syukur Alhamdullilah,akhirnya berjaya juga saya memiliki novel "Kembang Kanigara" yang diperolehi sendiri daripada penulisnya S.M.Zakir.

Sebenarnya saya pernah memiliki novel ini ketika zaman sekolah menengah lagi,namun telah hilang.Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1992.

Sinopsis

Kembang Kanigara membawa kita untuk melihat ke satu sudut antara watak yang ada dalam Epik Ramayana yang sangat popular di dunia.Dalam Kembang Kanigara,fokus utama ialah watak Indrajit,putera sulong Maharaja Rawana.Anak yang paling sakti antara semua anak,menteri dan hulubalang Rawana.Indrajit juga bermaksud "Sang Penakluk Indera".

Ketika Rawana beroleh kerajaan empat alam,dia telah memasuki alam keinderaan,melalui perkahwinan dengan Puteri Nila Utama,beroleh Indrajit lalu dirajakan di alam keinderaan itu.Di alam bumi,Rawana berkahwin dengan Puteri Pertiwi Dewi dan beroleh Patala Maharayan  lalu dirajakan di petala bumi.Di alam lautan,Rawana berkahwin dengan Puteri Gangga Maha Dewi dan  beroleh  Gangga Maha Sura  lalu dirajakan di kerajaan lautan.

Indrajit

Indrajit merupakan seorang raja dan satria sakti,namanya mashur diseluruh alam keinderaan,seorang yang digambarkan sebagai seorang yang tulus pekerti,seorang anak yang taat dan seorang patuh pada Sang Pencipta.Indrajit,empat alam tunduk mendengar nama Indrajit,segala mergastua terkaku,para dewa terdiam,para bidadari terpesona,para pertapa menghormati,para mambang dan raksasa gementar. Indrajit,raja keinderaan,berdirinya diatas udara,berlarinya diatas angin,tidurnya diatas awanan!

Keangkuhan menodai kesedaran

Ketika semua di langkapuri hanya tahu mengampu dan mengikut saja nafsu dan keegoan Rawana yang melarikan isteri Rama,Sita Dewi.Hanya terdapat dua insan saja yang berani menegur Rawana.Seorang ialah Maharaja Bibasenam,menteri paling kanan Rawana,namun telah dinyahkan dengan penuh aib oleh Rawana dari istana!Dan seorang lagi ialah anaknya sendiri iaitu Indrajit.Dia yang sedar bahawa dirinya berada dalam pihak yang salah,namun taat setianya sebagai seorang anak kepada ayahnya membuatkan dia memilih pengorbanan.

"Jika ada seribu nyawa patik,akan patik serahkan pada budi bicara tuanku,bukan patik orangnya yang lari dari tanggungjawab"

"Janganlah tuanku pergi berperang,biarlah patik yang menangung segala dosa ini"

Semilir pun turut tersedu.Pagi tetap mendung.

Diantara Kebenaran dan Ketaatan
Aku pilih Pengorbanan.

Dialog antara Indrajit dan hulubalang kanannya Mahadabira sangat menyentuh perasaan dan terlalu mendalam nilainya.Bagaimana seorang yang baik budi pekertinya akhirnya terperangkap dalam jurang kehancuran dan memilih kebinasaan demi menjadi contoh kepada yang lain bahawa..Kebenaran pasti akan menang!Ketaatan tidak akan dapat mengatasi kebenaran.

"Jadi kita harus berperang juga?"
"Ya"
"Walaupun tidak dengan hak?"
"Hak kita hanya pinjaman.Ia Milik Sang Pencipta"
"Kita akan jadi seperti yang lain.Nama kita cemar di jagatraya"
"Yang faham akan mengerti,yang tidak faham, biarkan."

Alangkah,alangkah kejamnya jagatraya!

Malam telah merangkak jauh.Sebentar lagi akan terbit fajar di punggur ufuk.Perlahan lahan warna teja mulai muncul.
Dia  tidak dapat melelapkan matanya lagi.

Perang Indrajit

Gempitalah di udara,bingar tidak ketahuan..Perang bermula! Perang Indrajit adalah sebenar benar perang,yang hanya menjanjikan Wijaya atau Maut!

Seakan telah berputar angin Langkisau!

Pertempuran yang berlaku antara Indrajit dengan angkatan Seri Rama yang disokong kuat oleh adindanya Laksamana,Hanuman dan anaknya,Hanuman Tamnat Gangga, serta Maharaja Bibasenam,mamandanya yang telah berpihak kepada kebenaran.

Wimutasara

Wimutasara,yang berasal dari Betara Indera.Yang menerjah tiada bersalahan.Yang berdesir dalam desir halilintar tunggal.Yang menyerbu dalam kesaktian alam dewata.Yang dihidupkan dari mantera para dewa.Inilah dia.Wimutasara!

Ketika Indrajit melepaskan Wimutasara,Panah yang akan melenakan setiap yang dilaluinya.Peluang untuk menghapuskan Rama adalah 100%.Namun Bibasenam yang kalis lena kerana mengetahui rahsia para dewa telah muncul untuk menghalang dan mencabarnya.Indrajit boleh saja untuk menumpaskan Bibasenam,namun rasa hormatnya pada mamandanya menghalangnya,pangkat bapa padanya..Bapanyalah itu!

Puja Nikam Bali

Bertempiklah Indrajit,terlalu gamat bunyinya sehingga keluar tiga kepalanya!Terkejut seluruh dewa-dewa dan mambang di udara.Terpanar semua!Kemarahan Indrajit bagai akan meruntuhkan langit!

Ya!Indrajit,raja seluruh keinderaan.Memang ternyata kehebatanya itu.

Adi Berma

Inilah dia! Inilah dia! Panah Sakti Adi Berma.Panah yang diperolehi dari maharashi sakti Adi Berma.

Dalam gerak penuh seni,Nah! Terlalu hebat luncuran panah itu membelah bumi mebadai angkasa.Bernyala seperti api dan guruh bunyinya seakan kiamat dunia.Asap dari bumi menyerkup ke udara.Kelam Dunia!Bagai terhenti dengusan angin,bagai terpadam sinar mentari.Bergemuruh dan bergeleparan menyerkup alam dengan tarian dalam lagu kejur maut.Betapa!

Panah Adi Berma telah menenggelamkan sinar dunia!
Terlalu hebat petaka Indrajit yang satu ini!

Perang terakhir

"Ya Tuanku,pergi patik kali ini hanya akan mempersembahkan dua kepada ayahanda.Sebuah kemenangan atau jasad kaku.Tiada patik kembali lagi,ampunkanlah patik,restuilah patik"

Bergoncang Pulau Langkapuri.Seketika,alam seperti luput deru nafasnya!

Mercupnya Aroma

Dan Panah Seri Rama meluncur.Tepat.Terpelantinglah kepala dari jasadnya.Rebahlah dia.Luput deru nafasnya.

Alam tiba-tiba menjadi senyap,sepi sesepinya,seolah telah mati.Tafakur segala isi mayapada.Perlahan berguguran gerimis dari langit.

Dari awanan,berhujanan rampai yang terlalu harum bau bauannya yang ditaburi para dewa.Mercup harumnya meresapi seluruh maya.

Kembang Kanigara layu di sepi rintisan  air yang bergerimisan turun dari pancuran jalawadra.

*************************************************************************

Sesungguhnya Novel Kembang Kanigara ini adalah sebuah novel yang terlalu indah bahasanya.Saya amat kagum dengan setiap bait perkataan yang disusun.Gambaran setiap suasana diperlihatkan seolah melihatnya berlaku didepan mata.

Kesetian,kecintaan,peperangan dan segala jalan cerita novel ini dapat saya rasai sepenuhnya.


6 comments:

Unknown said...

Alhamdulillah semoga Allah memurahkan rezeki tuan

qalam_timur said...

Terima Kasih..begitu juga dengan tuan.amin.

Nur Asiah said...

macam mana nak dapatkan novel ni.. terbitan mana.. saya sangat berminat nvl dgn pengunaan bahasa yg mcm ni..

tiung said...

Assalamualaikum.

Novel ini pernah saya miliki, dan antara novel yang saya baca berulangkali. Latarnya adalah dari Epik Ramayana, dengan watak utamanya adalah Indrajit, anak perolehan Rawana dari alam keinderaan. Novel ini mengetengahkan dilema seorang anak yang berbapakan seorang 'megalomania'.

Begitupun, saya juga pernah miliki satu lagi novel kisah sampingan Ramayana-Hanuman: Potret Diri karya Uthaya Sankar, dan sepertimana Kembang Kanigara, novel Potret Diri itu mengetengahkan dilema seorang anak juga, iaitu Hanuman, anak kepada Rama.

Perbezaan antara dilema kedua2 anak ini -anak antagonis dan anak protagonis- juga sangat menarik. Rawana, watak jahat, miliki beberapa anak dari empat pecahan alam, termasuk seorang anak angkat si raksasa Mula Pattani yang disimpan di perut bumi, sangat menyayangi kesemua anaknya, terutamanya Indrajit, selaku anak yang paling baik perilakunya. Tidak tergambar sedihnya Rawana mendapat khabar gugurnya Indrajit dalam peperangan.

Tapi Seri Rama, bapa Hanuman tidak berkongsi dilema yang sama. Sedar bahawa Hanuman adalah anaknya, tapi Raja mana yang mahu mengakui seekor monyet sebagai anak. Sedang Hanuman pula terikat dengan sumpahan tidak boleh mengakui Rama sebagai bapa secara lisan sebelum Rama sendiri membuat pengakuan.

Membaca kedua2 novel ini membuatkan kita dapat mengenali kedua2 anak ini dengan lebih dekat, malah kita juga dapat buat perbandingan antara watak Seri Rama dengan Rawana sendiri. Sehinggakan saya fikir bahawa Rawana sebenarnya lebih baik daripada Seri Rama. Sejahat2 Rawana, sangat menyayangi anak2nya dan sebaik2 Rama, anak seorang pun tidak terjaga!

Wassalam.

qalam_timur said...

Waalaikummussalam...

Nilai moral menjadi fokus utama dalam kedua karya yang dikabarkan oleh Tiung.

Ramayana-Hanuman: Potret Diri karya Uthaya Sankar juga pernah saya miliki.Tapi telah hilang juga,maklumlah..pindah randah.Karya ini boleh diikuti di portal Malysiakini.http://www.freemalaysiatoday.com/tag/hanuman/

setiap episod akan diterbitkan pada sabtu dan ahad setiap minggu.Hanuman Suara Hati(Potret Diri) mengupas dengan lebih mendalam lagi mengenai awal permulaan epik Ramayana.

Kisah-kisah epik memang menarik sekali bagi saya.Pelbagai maksud tersirat dapat diperolehi daripada setiap kejadian yang diriwayatkan.

qalam_timur said...

Maaf
*Freemalaysiatoday

PROTON EXORA 2022 : SELAMAT DATANG

PROTON EXORA 2022 Segala puji bagi Allah SWT tuhan penguasa sekalian alam.  Membeli kenderaan bukanlah satu perkara yang enteng. Segala aspe...